Tuesday, July 03, 2007

UJIAN AIR KENCING


Ujian Air kencing atau Urine Test yang dilaksanakan oleh Agensi dadah Kebangsaaan telah dijalankan pada 29 Jun yang lalu. Ini merupakan tahun kedua program ini dianjurkan di sekolah ini. Hanya kelas-kelas tertentu sahaja kali ini yang dipilih dan keputusan yang perolehi adalah negatif. Semoga budaya kurang sihat seperti menghisap dadah, gam dan sebagainya tidak wujud di kalangan warga SMKP.

KELAS IQRA


Unit Bina Insan SMK Pekan mengambil inisiatif memulakan kelas Iqra untuk semua pelajar bermula pada 29 Jun yang lepas. Setiap pelajar dipecahkan ke dalam kumpulan-kumpulan dengan guru pembimbing mengikut tahap-tahap yang telah ditetapkan. Tujuan diadakan program ini adalah untuk membolehkan para pelajar sekurang-kurangnya dapat membaca al-quran. Program yang akan berlangsung setiap jumaat, 2 minggu sekali ini diharapkan memberi kesan dan nilai yang positif kepada semua pelajar.

SAMBUTAN HARI GURU


Sambutan hari guru tahun ini dengan tema Guru Penjana Modal Insan Gemilang telah disambut dengan meriah pada 16 Mei yang lepas. Pelbagai acara diatur seperti sukaneka dan persembahan dari pelajar untuk menyerikan lagi sambutan kali ini. Sambutan dimulakan dengan pembacaan perutusan hari guru dan seterusnya guru-guru melafazkan ikrar. Acara sukaneka melibatkan guru, staf dan pelajar seterusnya berlangsung. Majlis diserikan lagi dengan persembahan pentas dari wakil pelajar dan majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada guru-guru.

MESYUARAT AGUNG PIBG DAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN


Mesyuarat Agung PIBG dan hari anugerah kecemelangan buat kali yang ke 7 telah berlangsung pada 13 Mei yang lalu. Mesyuarat Agung kali ini seperti biasa membincangkan masalah yang berkaitan dengan sekolah dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh YB Wan Iqbal Afdza bin Wan Abdul Hamid, ADUN Peramu Jaya. Majlis seterusnya disambung dengan penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang lepas dan juga yang cemerlang dalam bidang kokurikulum. Semoga anugerah yang diterima menjadi pendorong untuk meningkatkan lagi kecemerlangan dan menggalakkan lagi pelajar-pelajar lain untuk mengejar kejayaan di masa hadapan.