Saturday, May 19, 2007

KEM KEPIMPINAN PELAJAR


Buat julung-julung kalinya Kem Kepimpinan pelajar pada tahun ini dijalankan diluar dari sekolah. Taman Pertanian di Kuantan menjadi lokasi bagi 94 orang pelajar yang terdiri daripada ketua kelas, pengawas dan pengawas pusat sumber mulai 4 hingga 6 Mei yang lalu. Kem kali ini sepenuhnya dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih terlatih yang bertindak selaku urusetia. Banyak aktiviti baru didedahkan kepada pelajar-pelajar untuk membentuk jati diri dan sikap kepimpinan di kalangan pelajar. Diharapkan semua peserta dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari.

HARI KELUARGA SMKP


Hari keluarga SMKP tahun ini dijalankan awal pada tahun ini iaitu pada 29 April yang lepas. Summerset Rompin sekali lagi menjadi tempat diadakan hari keluarga pada kali ini selepas kali pertama diadakan pada tahun 2005 yang lalu. Sambutan kali ini amat menggalakan dari guru dan kakitangan SMK Pekan. Majlis diserikan dengan kehadiran tuan pengetua, Tuan Haji Aidun bin Talib. Pelbagai aktiviti aktiviti dijalankan seperti sukaneka dan acara untuk kanak-kanak. Majlis diakhiri dengan jamuan dan penyampaian hadiah kepada semua pemenang.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Sempena menyambut maulidur rasul, Unit Bina Insan telah menganjurkan sambutan maulidur rasul peringkat sekolah pada 20 April lalu. Ceramah bertemakan maulidur rasul juga telah diadakan dengan ceramah disampaikan oleh Ustaz Norhamizi bin Jamaluddin dari Jabatan Agama Islam Pahang mengenai keperibadian Rasulallah. Semoga semua pelajar dapat mencontohi akhlak dan keperibadian nabi dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

BOLA TAMPAR MSSD


SMK Pekan sekali lagi terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan Bola Tampar MSSD selepas menganjurkannya buat kali pertama tahun lepas. Kejohanan kali ini berlangsung selama 2 hari mulai 16 hingga 17 April. Pada kejohanan kali ini, pasukan lelaki mengulangi pencapaian tahun lepas apabila muncul naib johan selepas tewas kepada SMK Lepar di peringkat akhir. Bagi pasukan perempuan pula, sekolah kita menduduki tempat ke 4, memperbaiki pencapaian tahun lalu di mana pasukan kita telah terkeluar di pusingan awal. Di harapkan pasukan bola tampar akan berusaha lagi untuk memperbaiki pencapaian di tahun hadapan.

MINGGU ANTI DADAH


Selepas julung kalinya diadakan pada tahun lalu, Minggu Anti Dadah diteruskan pada tahun ini dan dijalankan mulai 9 hingga 13 April yang lepas. Seperti tahun lalu, tujuannya adalah untuk mendedahkan kepada para pelajar tentang keburukan dan kesan dadah terhadap diri, masyarakat dan negara. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pentandingan sajak dan melukis poster anti-dadah. Semoga program-program sebegini dapat membantu pelajar-pelajar meningkatkan kesedaran tentang keburukan dadah.

KARNIVAL BAHASA MELAYU


Sempena Minggu Bahasa Melayu yang berlangsung mulai 26 sehingga 30 Mac , satu karnival telah diadakan melibatkan 4 acara yang dipertandingkan iaitu sajak, syair, forum remaja dan pidato diraja. Karnival ini merupakan julung-julung kalinya diadakan dan penyertaan amat menggalakkan. Usaha sebegini seharusnya diteruskan di masa-masa akan datang untuk memartabatkan lagi bahasa kebangsaan kita.

MAJLIS TITISAN ILMU


Pada 24 Mac lepas, pihak sekolah telah menganjurkan Majlis Titisan Ilmu sempena Ujian Febuari yang lepas. Tujuan diadakan majlis ini ialah untuk ibu bapa dan guru-guru berbincang tentang pencapaian akademik anak masing-masing. Satu ceramah motivasi juga telah disampaikan oleh Tuan Haji Samsuddin bin Endut, kaunselor SBPI. Seterusnya ibubapa mengadakan sesi perbincangan dengan guru kelas anak masing-masing.

KEPUTUSAN SPM 2006


Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara rasminya diumumkan pada 12 Mac yang lepas. Secara keseluruhannya pencapaian agak menurun, namun begitu tahniah kepada Norashikin bin Ahmad kerana mencatat keputusan 7A kali ini yang merupakan antara pencapaian terbaik yang pernah dicatat oleh sekolah. Tahniah juga diucapkan kepada subjek Geografi dan Teknologi Maklumat yang mencatat kelulusan 100%. Semoga SPM tahun ini akan lebih baik lagi dan mengatasi pencapaian sebelumnya.

KEJOHANAN OLAHRAGA MSSM PEKAN


Pasukan olahraga sekolah telah berjaya menyumbangkan 4 emas dan 2 gangsa dalam kejohanan olahraga MSSM daerah Pekan yang dilangsungkan di SHAH pada 6 hingga 8 mac yang lalu. Secara keseluruhannya, sekolah kita menduduki tempat ke 7 dari 15 sekolah yang bertanding. Emas disumbangkan dalam acara 1500 Meter, 800 Meter, 4X400 meter dan lontar peluru. Manakala acara lompat kijang dan lompat jauh berjaya menyumbangkan pingat perak. Atlit jarak jauh, Sarida telah menyumbangkan 3 dari 4 emas yang diperolehi, manakala Mohd Razman dalam acara lontar peluru dan telah terpilih untuk mewakili daerah dalam kejohanan peringkat negeri.

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN


Unit bina Insan SMK Pekan sekali lagi menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran pada 16 Febuari yang lepas. Seperti tahun-tahun sebelumnya, tadarus Al-Quran, kuiz, syarahan dan nasyid merupakan acara-acara yang dipertandingkan. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan diharapkan dapat memperbaiki lagi pencapaian di masa-masa akan datang.

SUKANTARA


Sukantara yang melibatkan semua rumah sukan telah berlangsung selama 2 hari bermula 14 sehingga 15 Febuari. Sebanyak 4 acara yang dipertandingkan melibatkan setiap kategori lelaki dan perempuan bawah 15 dan 18. Larian 100 meter, 800 Meter, Lompat Jauh dan lontar peluru setiap satunya akan menyumbang mata kepada ahli setiap rumah sukan jika dapat melepasi tahap-tahap yang ditetapkan. Rumah Hijau berjaya mengutip markah terbanyak mengatasi rumah-rumah yang lain sekaligus mengekalkan pencapaian tahun lepas.

MAJLIS PERLANTIKAN PENGAWAS


Pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber sesi 2007 secara rasminya dilantik pada 5 Mac yang lepas. Selepas melalui sesi percubaan, barisan pelajar yang dipilih ini diberikan tanggungjawab untuk memastikan segala urusan yang melibatkan bidang tugas masing-masing dapat dilaksanakan dengan lancar .Diharapkan semua pengawas yang telah dilantik dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan.

MAJLIS PERPISAHAN


Cikgu Azli Lee, Cikgu Anuar dan Ustazah Aishah diraikan dalam satu majlis yang sederhana sempena pertukaran dan tamatnya tempoh sebagai guru ganti oleh Ustazah Aishah pada 1 Mac yang lepas. Cikgu Azli telah bertukar ke SMK Peramu Jaya manakala Cikgu Anuar ke SMK Dato’ Mahmud Mat. Seluruh warga SMKP mengucapkan selamat maju jaya dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sumbangan mereka sepanjang berkhidmat di sekolah ini.

BOLASEPAK MSSM DAERAH PEKAN


Kejohahan bolasepak MSSM daerah Pekan telah berlangsung pada 27 febuari sehingga 4 Mac yang lalu. 3 padang telah digunakan sebagai gelanggang permainanan iaitu padang SMK Seri Pekan, SMK Tengku Abdullah dan padang sekolah. Pasukan bawah 18 telah kecundang di peringkat awal kumpulan manakala pasukan bawah 15 pula terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasukan SMK Tengku Abdullah 2 – 0 tambahan masa selepas terikat 0 – 0 dalam waktu permainan sebenar.

KURSUS KAWAD


Kursus kawad untuk guru-guru dan wakil pelajar bagi setiap unit beruniform telah diadakan pada hari sabtu, 3 Febuari yang lepas.. Sambutan dari peserta amat menggalakkan. Peserta didedahkan dengan arahan-arahan yang digunakan semasa mengendalikan kawad dan melakukan latihan kawd.Peserta juga ajarkan beberapa lagi jenis kawad lagi selain kawad kaki yang asas. Diharapkan,ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan bila kembali ke unit masing-masing nanti.

CERAMAH MAAL HIJRAH


Sempena sambutan maal hijrah,pihak sekolah telah menganjurkan satu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zainal Abidin bin Ismail, penolong pengarah Jabatan Agama Islam Pahang pada 2 februari yang lalu. Ceramah ini bertujuan untuk memupuk azam dan semangat baru sempena maal hijrah di samping memberi pendedahan kepada para pelajar tentang sejarah, tujuan dan kesan serta ikhtibar yang boleh didapati oleh peristiwa hijrah 1427 tahun yang lalu.

KEMAHIRAN BELAJAR


Unit Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan klinik kemahiran belajar untuk pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 5 pada 1 Februari yang lalu. Pelajar-pelajar didedahkan dengan teknik belajar dan pengurusan pembelajaran diri dengan betul dan teratur. Diharapkan pelajar dapat memanfaatkan kemahiran yang dipelajari dan seterusnya membantu meningkatkan prestasi pembelajaran masing-masing.

TAKRAW MSSD


Tahniah diucapkan kepada regu bawah 18 SMK Pekan yang berjaya menduduki tempat ketiga dalam kejohanan sepak takraw peringkat daerah yang diadakan di dewan Inderapura bermula 25 Januari yang lalu.Regu bawah 18 telah tewas kepada regu dari SMK Dato’ Mahmud Mat. Walaubagaimanapun, inilah pencapaian yang terbaik setakat ini dan diharapkan dapat dipertingkatkan lagi di masa akan datang. Bagi regu bawah 15, mereka mengulangi pencapaian tahun lepas apabila mara ke suku akhir sebelum tewas kepada regu dari SMK Lepar.

LAWATAN PSS SMK LEPAR


Pengawas-pengawas perpustakaan dan guru dari SMK Lepar telah mengadakan lawatan ke PSS Al-Ghazali pada 24 Januari yang lalu. Mereka diberikan taklimat ringkas tentang PSS sekolah kita yang disampaikan oleh Cikgu Amran. Seterusnya, mereka di bawa melawat di sekitar PSS untuk melihat kemudahan-kemudahan dan bahan-bahan yang terdapat di Pusat Sumber .Peluang sebegini digunakan untuk belajar dan bertukar-tukar fikiran untuk kemajuan PSS bersama.

MERENTAS DESA SEKOLAH


Pada hari Jumaat, 19 Januari yang lalu, pihak sekolah telah mengadakan kejohanan merentas desa. Seperti biasa, 4 kategori telah dipertandingkan iaitu lelaki bawah 18, lelaki bawah 15, perempuan bawah 18 dan perempuan bawah 15 yang melibatkan semua rumah. Sarida a/p Muhammad telah memenangi tempat pertama bagi kategori bawah 15, manakala Hamidah, Dodi Iskandar dan Mohd Syafie memenangi kategori masing-masing iaitu perempuan bawah 18, lelaki bawah 15 dan lelaki bawah 18. Rumah Hijau mengekalkan kejuaraan tahun lalu dengan muncul johan keseluruhan dengan 160 mata diikuti oleh rumah biru (124), rumah Kuning (85) dan rumah Merah (84).

BOLA JARING MSSD


Kejohanan bola jaring peringkat daerah telah diadakan di sekolah SMK Lepar pada 16 dan 17 Januari yang lalu. Hanya pasukan perempuan bawah 15 tahun sahaja di hantar bagi kejohanan kali ini. Sekolah kita telah mendapat tempat ke 3 dalam kumpulan dan gagal untuk layak ke peringkat seterusnya.

ORIENTASI TINGKATAN 1,4

Minggu orientasi bagi pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 4 telah bermula pada 8 Januari yang lepas. Dikendalikan oleh 2 kaunselor sekolah, En Mohammad dan Pn Noraini, minggu ini bertujuaan untuk mendedahkan pelajar tentang keperluan-keperluan yang perlu diketahui sebelum memasuki kelas baru. Bagi pelajar tingkatan 1, mereka diperkenalkan dengan persekitaran sekolah dan kemudahan-kemudahan yang ada dan yang boleh digunakan.Manakala bagi pelajar tingkatan 4 pula, pendedahan kepada elektif yang sesuai dan peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran sekiranya mendapat keputusan yang baik dalam PMR kelak.

PENDAFTARAN SESI 2007

Sesi pendaftaran bagi pelajar Baru Telah diadakan pada 29 disember 2006 yang lepas. Pada tahun ini, sekolah menerima bilangan pelajar tingkatan 1 yang ramai sehingga terpaksa membuka 2 kelas baru menjadikan 6 kelas semuanya. Bilangan guru juga turut bertambah. Sesi pendaftaran bermula dengan taklimat dari tuan pengetua, Tn Hj Aidun bin Talib. Seterusnya, pelajar-pelajar pergi kelas masing-masing untuk urusan pendaftaran dan pembayaran yuran yang dikendalikan oleh guru kelas masing-masing.