Monday, October 16, 2006

Majlis Tadarus Al-Quran


Sempena bulan puasa ini, unit Bina Insan telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran pada 13 Oktober lepas. Pelajar dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil . Sambutan adalah menggalakkan walaupun ramai pelajar tidak hadir pada hari tersebut. Diharapkan program seperti ini dapat membentuk generasi yang membudayakan Al-Quran dalam kehidupan harian.

Majlis Restu Ilmu PMR


Majlis Restu Ilmu bagi pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan PMR pada tahun ini telah diadakan pada 29 September yang lalu. Majlis ini bertujuan untuk guru-guru yang mengajar merestui segala apa yang telah dicurahkan di samping memberi panduan kepada para pelajar dalam menghadapi peperiksaan.Semoga apa yang didapati oleh pelajar dapat dimanfaatkan dan berusaha untuk terus mengejar kejayaan.

Majlis Solat Hajat


Pada 22 September yang lepas, satu Majlis Solat hajat telah diadakan sempena peperiksaan PMR dan SPM yang bakal menjelang. Majlis dimulakan dengan penyerahan slip keputusan peperiksaan percubaan kepada ibu bapa dan penjaga yang hadir. Solat hajat dimulakan selepas solat maghrib dan diikuti dengan bacaan Yasin dan seterusnya solat Isya’. Sambutan dari pelajar dan ibubapa sangatlah menggalakkan. Kita merasa bertuah kerana majlis ini telah ditaja oleh sebuah syarikat yang tidak mahu dikenali.Semoga semua apa yang dihajati dimakbulkan Allah dan berdoalah selalu terhadap kejayaan dan kesejahteraan.

Ceramah Sempana Ramadan


Satu ceramah sempena menyambut bulan puasa telah diadakan pada 16 september. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Norhamizi bin Jamaluddin dari Jabatan Agama Islam Pahang yang juga merupakan suami kepada Ustazah Eishah. Antara isi ceramah yang disampaikan ialah dari sudut kepentingan berpuasa dan panduan menghadapi cabaran dan godaan dalam bulan Ramadan. Semoga apa yang telah disampaikan oleh Ustaz akan menjadi panduan berguna kepada semua pelajar.

Pertandingan PERPUSPA


Sekolah kita telah muncul sebagai naib johan dalam pertandingan Perpustakaan terbaik Negeri Pahang kategori luar bandar PERPUSPA pada tahun ini. Majlis telah diadakan di Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) Kuantan pada 11 September yang lepas. Pencapaian ini sekaligus memperbaiki prestasi tahun lepas dimana kita memperolehi tempat ketiga. Cikgu Amran dan Cikgu Sheikh Al-Kasimi menjadi wakil untuk menerima hadiah. Diharapkan pada masa kan datang, sekolah kita dapat mengulangi pencapaian tahun 2004 dimana kita telah muncul sebagai johan di negeri Pahang.

Hari Keluarga


Hari keluarga SMKP telah diadakan di Glory Beach Resort pada 10 September yang lalu . Ini merupakan kali kedua diadakan disini selepas kali pertama diadakan pada tahun 2004 yang lalu. Tujuan diadakan hari keluarga ini ialah untuk mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga warga SMKP. Antara aktiviti yang diadakan ialah sukaneka mengikut kumpulan yang telah ditetapkan dan aktiviti untuk kanak-kanak. Majlis diserikan dengan kehadiran bekas pengetua, Tuan Haji Abdul Khalil bin Sham. Diharapkan di masa-masa akan datang, program sebegini dapat diteruskan dan sambutan dari warga SMKP dan keluarga dapat ditingkatkan.

Sambutan Kemerdekaan


Pada 30 Ogos yang lepas, pihak sekolah telah mengadakan majlis sambutan kemerdekaan sempena menyambut hari kemerdekaan Malaysia yang ke 49. Majlis ini juga merupakan majlis rasmi pertama bagi tuan pengetua yang baru iaitu Tuan Haji Aidun bin Talib. Majlis dimulakan dengan pembacaan perutusan kemerdekaan dari Yang Dipertuan Agong, Menteri Pelajaran dan Ketua Pelajaran Malaysia. Majlis juga deserikan dengan pembacaan sajak kemerdekaan yang disampaikan oleh Yahya bin Mansor dan Amsyar bin Azli Lee. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu-lagu patriotik beramai-ramai.

Majlis Perpisahan Tuan Pengetua


Tuan Pengetua, Tuan Haji Abdul Khalil bin Sham akan bertukar ke SMK Lepar Hilir. Satu majlis perpisahan telah diadakan pada 18 Ogos yang lepas. Antara aktiviti yang diadakan ialah pembacaaan sajak oleh wakil pelajar dan penyampaian cenderamata kepada tuan pengetua. Majlis diserikan dengan ucapan dari tuan pengetua yang memberikan nasihat dan panduan kepada semua pelajar .Pihak sekolah merakamkan setinggi-tingi penghargaan dan terima kasih kepada Tn Hj Abdul Khalil selama beliau berkhidmat hampir 3 tahun di sekolah ini dan selamat maju jaya di sekolah baru kelak.

Lawatan Ke Pusat Serenti


Satu lawatan sambil belajar ke Pusat Serenti Gambang, Kuantan anjuran Unit Bimbingan dan kaunseling telah diadakan pada 9 Ogos yang lalu. Lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar tentang kehidupan dan suasana dalam pusat serenti yang sebenar. Pelajar terlebih dahulu diberi taklimat oleh Penguasa Pusat dan ditayangkan video mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan disini. Seorang pelatih juga dijemput untuk menceritakan pengalamannya. Pelajar seteruskan dibawa melawat sekitar pusat.

Ceramah Pergigian


Pada hari Selasa 8 ogos 2006 ,pihak Hospital Pekan telah mengadakan ceramah pegigian untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan.Ceramah tersebut telah disampaikan oleh jururawat –jururawat pergigian Hospital Pekan.Banyak faedah yang para pelajar dapat daripada ceramah yang disampaikan , antaranya ialah keburukan daripada penyakit karies gigi yang boleh menyebabkan ianya menjadi serius jika tidak dibendung dari awal.Selain dari itu jururawat juga menyampaikan ceramah tentang kerjaya dalam bidang jururawat pergigian selepas tamat persekolahan.Daripada ceramah tersebut para pelajar dapat mengetahui cara-cara untuk memasuki ke kerjaya tersebut.Akhir sekali ceramah tersebut dapat memberi banyak manfaat kepada semua pelajar.

Lawatan JHEOA


Satu lawatan sambil belajar ke Putrajaya, Kuala Lumpur telah diadakan pada 26 Julai yang lepas.Lawatan ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang melibatkan 200 pelajar seluruh negeri. Seramai 20 pelajar yang terlibat dan Cikgu Noraini dan Cikgu Mazuin sebagai guru pengiring. Antara tempat-tempat yang dilawati ialah Sekolah Alam Shah, Pusat Sains Negara dan Universiti Putra Malaysia . Diharapkan dengan lawatan sebegini dapat membuka minda pelajar dan mendedahkan pengetahuan-pengetahuan baru yang berguna dan bermanfaat.

Saturday, July 22, 2006

Mesyuarat Agung Koperasi SMK Pekan Pahang Berhad


Mesyuarat agung koperasi sekolah SMK PEKAN BERHAD PAHANG kali ke-2 telah diadakan pada hari rabu 19Julai 2006 dan dirasmikan oleh En.Ismail bin Hj Abdul Rahman.Antara agenda mesyuarat ialah membentangkan laporan prestasi koperasi sepanjang tahun kewangan dan melantik ahli lembaga yang baru bagi tahun 2006/2007.Tahniah kepada semua ALK yang lama kerana diberi kepercayaan sekali lagi,manakala bagi ALK pelajar pula,tahniah diucapkan kepada Nurul Jamiah,Mohd Syafik Hafifullah,Junaidi,NorAzira, dan Mohd Zaimin.Semoga koperasi sekolah kita akan lebih berjaya pada masa akan datang.

Majlis Titisan Ilmu

Pada hari Jumaat,14 Julai 2006....Majlis Titisan Ilmu telah di adakan bertujuan untuk memberikan pelaporan prestasi pelajar sepanjang peperiksaan pertengahan tahun yang lalu.Majlis di mulakan dengan ceramah keibu bapaan yang di sampaikan oleh Tuan Hj. Ishak bin Idris.Seterusnya ibu bapa dan penjaga pergi ke kelas anak masing-masing untuk sesi pelaporan dan menandatangani Kad Kemajuan pelajar bersama guru kelas anak masing-masing. Majlis ini penting agar ibu bapa mendapat gambaran mengenai prestasi anak-anak mereka selain dapat berbincang dengan guru mengenai masalah -masalah pembelajaran. Semoga di masa akan datang sambutan daripada ibu bapa akan meningkat dan seterusnya memperbaiki prestasi akademik sekolah ini.

Mentor Mentee


Pada hari Rabu bersamaan 12 Julai 2006 yang lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan telah melancarkan hari penyerahan mentor mentee. Ia melibatkan guru-guru dan para pelajar,setiap guru mempunyai 15 orang pelajar dibawah bimbingan mentornya. Diharap,rancangan ini mampu mengubah sikap mentee,dan akan memberi kesedaran kepada warga SMK Pekan.Selain itu,diharap kepada semua pelajar supaya dapat meningkatkan prestasi dari segi kurikulum mahupun kokurikulum dengan adanya program ini…

Backwood Cooking Pengakap


Pada hari Rabu bersamaan 5 Julai 2006 yang lalu,unit beruniform pengakap telah mengadakan backwood cooking.Antara menu pada hari itu adalah nasi dalam buluh dan ayam goreng.Sebanyak 6 kumpulan pengakap terlibat bagi menyertai aktiviti ini.Aktiviti ini di jalankan pada waktu kokurikulum sehinggawaktu rehat.Lokasi aktiviti itu diadakan di belakang bangunan block D sekolah. Semua pelajar yang menyertai aktiviti ini kelihatan seronok melakukan kerja yang ditugaskan.Diharapkan pihak sekolah akan melakukan aktiviti ini pada masa akan datang,kerana ia mampu menerapkan sikap kerjasama di kalangan pelajar.

Minggu Anti Rokok dan Dadah

Bermula pada hari Isnin bersamaan 26.06.2006,minggu antidadah dan rokok telah dijalankan.Minggu tersebut telah dilancarkan oleh pengetua SMK PEKAN sendiri iaitu Tuan Hj Abdul Khalil Bin Sham.Sepanjang minggu tersebut,banyak aktiviti yang dilakukan.Antaranya ialah pertandingan buku skrap,melukis poster,kuiz,deklamasi sajak,dan sebagainya.Semua aktiviti tersebut berlatarkan minggu antidadah&rokok.Tujuan pihak sekolah mengadakan aktiviti seperti ini adalah untuk memastikan pelajar-pelajar dapat melibatkan diri dalam melakukan perkara yang lebih berfaedah dan ianya tidaklah membuang masa sahaja.

Hari Anugerah Kecemerlangan & Mesyuarat Agung PIBG

Pada hari sabtu 24 jun 2006 sekolah ini telah mengadakan hari angerah kecemerlangan dan juga mesyuarat PIBG kali ke 4 Majlis itu bermula pada jam 8.30 pagi .Majlis itu telah dirasmi kan oleh Dato Haji Ishak bin Haji Muhammad,selaku Adun kawasan Bebar.Setelah perasmian, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR dan SPM serta ujian akhir tahun 2005 yang lalu.Ini bertujuan untuk memupuk semangat persaingan antara pelajar untuk berjaya dalam pelajaran.Ini juga menyampaikan penghargaan kepada pelajar yang cemerlang.Setelah majlis tersebut berakhir, semua ibubapa yang hadir dijemput untuk menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak sekolah.

Radio SMK Pekan FM

Pada 16 Jun lepas,SMK Pekan telah melancarkan program kelab radio sekolah dan disertai oleh beberapa orang wakil pelajar dari tingkatan dua dan empat selaku penyampai radio.Kelab ini dikendalikan oleh Ustazah Eishah sebagai guru penasihat.Waktu siaran bermula pada pukul 7.00 hingga 7.40 pagi dan pada waktu rehat iaitu pada pukul 10.00 hinga 10.35 pagi.

Pertandingan Kawad Polis


Pada 15hb 6 2006,sekolah kita telah menjadi tuan rumah bagi pertandingan kawad kaki Kadet Polis daerah pekan.Tiga buah sekolah yang telah mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan,Sekolah Menengah Cini Timur dan SBPI Pekan.Pertandingan itu bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 10.00 pagi.Program tersebut telah dipimpin oleh seorang ketua polis daerah pekan.Program itu juga telah berjalan dengan lancar.

Rosmawati 4R


Friday, May 19, 2006

Peperiksaan Pertengahan Tahun

Peperiksaan Pertengahan tahun bagi menegah atas telah bermula 9 mei yang lepas sehinggalah 26 mei. Bagi menengah bawah pula, peperiksaan bermula pada 18 mei sehingga 26 mei juga. Jawaplah soalan peperiksaan dengan betul dan gunakanlah peluang ini untuk menguji dan mengukur pencapaian sepanjang setengah tahun ini.

Hari Guru


Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan merupakan tema Hari Guru pada tahun ini. Pihak sekolah telah mengadakan sambutan Hari Guru sepertimana tahun-tahun yang lepas. Upacara sambutan dimulakan dengan perarakan masuk guru, pembacaan perutusan-pertutusan hari guru, sukaneka dan persembahan. Kepada semua guru SMK Pekan, selamat hari guru diucapkan, semoga sentiasa sejahtera selalu.

Kem Kepimpinan Pelajar

Pada 5 hingga 7 Mei telah diadakan Kem Kepimpinan Pelajar 2006.
Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada pengawas, pengawas PSS, ketua-ketua kelas dan penolong serta beberapa pengerusi persatuan yang terlibat. Antara aktiviti yang dijalankan adalah motivasi, kembara malam dan ceramah-ceramah yang berkaitan dengan kepemimpinan. Diharapkan dimasa akan datang bilangan penyertaan dapat ditingkatkan dengan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik lagi.

Lawatan PSS SHAH


Pada 3 Mei juga pada jam 3.30 petang, PSS Al-Ghazali menerima kunjungan dari PSS SHAH yang terdiri dari guru dan pengawas-pengawas PSS. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau dan bertukar-tukar pendapat dan saling membantu untuk meningkatkan lagi tahap PSS.

Friday, May 05, 2006

Pandu Puteri Basuh Kereta



Pada 3 Mei yang lepas, Pergerakan Pandu Puteri sekolah dibawah pimpinan Cikgu Sharipah telah menjalankan aktiviti membasuh kereta sebagai aktiviti mereka. Dengan bayaran RM 5, hampir 10 buah kereta guru-guru yang telah dicuci. Harapannya agar aktiviti sebegini dapat diteruskan dimasa-masa akan datang.

Selamat Datang Ustazah Eishah


Selamat datang diucapkan kepada ustazah yang baru iaitu Ustazah Eishah bt Abdul Manaf yang menggantikan Ustazah Zaidah. Sekolah kita ialah sekolah yang ketiga selepas Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan , Jerantut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud, Raub.Ustazah akan mengajar untuk mata pelajaran pendidikan islam dan tasawur islam .Semoga kehadiran ustazah dapat m membantu peningkatan prestasi pelajaran murid –murid di sekolah ini.

Nelayan Jaya


Pada 1 Mei yang lepas, Tuan pengetua dan anak, Cikgu Mohammad (HEM), Abang Yusri, En. Azman (Tukang Kebun) En. Hisyam (Suami Cikgu Rozilah), En. Jeffry (Suami Cikgu Norhayati), termasuk tekong kapal dan seorang awak-awak telah berangkat ke Laut China Selatan untuk aktiviti memancing ikan. Dengan bot yang disewa khas, bermula dari jam 8 pagi sehingga jam 5.45 petang, Pelbagai jenis ikan dapat ditangkap antaranya ialah ikan kerapu, ikan merah dan ikan kerisi. Hasil tangkapan keseluruhannya pada hari itu adalah seberat 30 kg. Akan datang, nelayan-nelayan jaya ini merancang untuk meneruskan aktiviti di lokasi yang lain pula, semoga aktiviti sebegini dapat diteruskan dan penyertaan dapat meningkat untuk memeriahkan lagi suasana.

Thursday, May 04, 2006

Terima kasih Ustazah Aishah, Cikgu Azila

Terima kasih diucapkan kepada Ustazah Nurul Aishah binti Mohd Nasrebi dan Cikgu Norzila binti Muhammad yang menamatkan perkhidmatannya di sekolah ini . Ustazah Aishah yang mula mengajar pada 20 februari sehingga 20 april sebagai guru ganti kepada Ustazah Najihah yang cuti bersalin. Sebelum ini ustazah mengajar KAFA di Taman Jambu.

Bagi Cikgu Azila pula, yang menjalani latihan praktikal di sekolah kita mulai 16 Januari sehingga 28 April selama 14 minggu keseluruhannya. Sepanjang tempoh berada di sekolah ini, Cikgu Azila yang merupakan pelatih daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengajar subjek Komputer Dalam Pendidikan dan Matematik. Semoga segala pengalaman sepanjang berada di sekolah ini dapat memberi kenangan yang manis dan semoga ustazah dan cikgu lebih berjaya di masa akan datang.


J-MIEY 4R

Bolasepak Bwah 18 MSSD

Pada 25 april 2006, sekolah kita telah menyertai perlawanan bola sepak bawah 18 peringkat daerah yang diadakan di padang sekolah .Pada mulanya, sekolah kita menerima kunjungan dari SMK Paloh Hinai dan mendapat keputusan seri 2-2.Pada keesokkannya pula kita mencatat kekalahan 2-1 kepada pasukan SMK Dato Mahmud Mat.Dengan keputusan ini, sekolah kita gagal untuk ke peringkat seterusnya.Johan pada kali ini jatuh kepada SMK Dato Mahmud Mat yang menewaskan SMK Ahmad.Semoga pada tahun-tahun akan datang,sekolah kita dapat memperbaiki pencapaian pasukan sekolah.


willariff 4R

Selamat Kembali Ustazah Najihah


Selamat kembali diucapkan kepada Ustazah Najihah yang mula bertugas semula pada 24 April yang lalu. Ustazah mula bercuti bersalin pada 20 februari yang lalu dan telah selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Amin Rujhan bin Kamarol Amizi . Semoga dengan kehadiran cahayamata yang ketiga ini dapat menambahkan lagi keceriaan dan semoga Ustazah berbahagia selalu.


Latifah 4R

Saturday, April 22, 2006

Cetera April


Cetera April telahpun diedarkan pada hari Jumaat yang lepas. Kali ini 2 keluaran diedarkan kepada setiap kelas. Walau bagaimanapun, jika ada pelajar ingin memilikinya secara peribadi, bolehlah dapatkan di PSS. Beberapa ruangan baru telah diperkenalkan dan diharap dapat memberi manfaat kepada semua.Kepada pelajar yang ingin menyumbang karya samada sajak, artikel, cerpen dan sebagainya amat-amatlah dialu-alukan. Tunggulah pengumuman di masa akan datang.

Thursday, April 13, 2006

Ceramah Maulidur Rasul

Pada pagi rabu satu ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul telah diadakan di dewan Ibnu Sina. Ceramah tersebut disampaikan oleh Ustaz Ayubdin bin Yusoff. Antara intipati ceramah yang disampaikan ialah berkisarkan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW, perjalanan hidup, cabaran dan sumbangan baginda terhadap agama Islam. Semoga semua pelajar mendapat manfaat dan ikhtibar serta mengikuti contoh–contoh akhlak mulia yang ditunjukkan oleh baginda .


JaMail 4R


Wednesday, April 12, 2006

Maulidur Rasul

Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap tahun.Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.

Hijjaz - Dia Kekasih Allah

Malu rasanya mengatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Didalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya ku turuti ajarannya
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya
Moga didunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerana budinya aku jatuh cinta
Rindu ku padanya tiada terkata
Nantikanlah daku ditaman syurga

Sesungguhnya apa yang ku dambakan
Adalah cinta Allah yang Esa
Kerana cinta kepada Rasulullah
Beerti cinta kepada Allah

Thursday, April 06, 2006

Senarai Pemenang Karnival NILAM

Peringkat Sekolah

Pembaca Terbanyak
  1. Lelaki : Wan Mohd Nazrol bin Wan Azmi ( 2 Raden)
  2. Perempuan : Noor Fatin Lyana binti Amirudin ( 2 Mayang)
Pustaka Mini Terbaik : 2 Raden

Kain Rentang
  1. 2 Raden
  2. 5 Raden
  3. 4 Mayang
Karnival NILAM (1 April 2006)

Mewarna Kanak-Kanak

Kategori 4-6 Tahun
  1. Alia Hazwani binti Badrul Hisham
  2. Hidayah
  3. Nurul Af Edah binti Ali
Kategori 7-9 Tahun
  1. Nur Fadhilah
  2. Amin Fitri bin Mohamad
  3. Norsaidah
Kategori 10-12 Tahun
  1. Nur Atikah binti Ali
  2. Zainun Atirah binti Ahmad Zaini
  3. Nursyamini Naazira
Melukis Poster
  1. Nur Amierah Afiqah SMK Ubai
  2. Noorhanisah binti Md Ghazali SMK Peramu Jaya
  3. Md Rizal bin Abd Rahman SMK Ubai
  4. Kamal bin Mohd Idris SMK Lepar
  5. Sakila binti Mohamad SMK Nenasi
Buku Skrap Antara Sekolah
  1. SHAH
  2. SMK Ubai
  3. SMK Ahmad
Huda 4R

Tuesday, April 04, 2006

Karnival NILAM


Pada hari sabtu minggu lepas, sekolah kita menjadi tuan rumah Karnival Gerakan Membaca(NILAM). Pelbagai aktiviti dijalankan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, melukis poster, membina buku skrap dan Pameran buku. Hampir semua sekolah di daerah Pekan mengambil bahagian. Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan pemenang. Semoga Karnival ini dapat memberi manfaat kepada kita semua...

Sabariah 4R

Monday, April 03, 2006

Selamat Datang ke Cetera Blog!


Assalamualaikum...selamat datang kepada semua warga SMKP. Cetera Blog ini diwujudkan untuk membolehkan kita berkongsi cerita yang berlaku. Di harap, semua warga SMKP dapat manfaat dan sama-sama boleh menyumbang ke arah kecemerlangan sekolah kita.